BUKIT MERTAJAM : Prihatin dengan nasib seorang pemuda yang cekal meneruskan pengajian walaupun ditimpa pelbagai ujian, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong tampil menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung lelaki berusia 25 tahun itu.
Bantuan tersebut diserahkan sendiri oleh Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika beliau berkunjung ke kediaman pemuda itu yang dikenali sebagai S. Selveston di Sungai Jawi, dekat sini.
Jelas Steven, Selveston merupakan seorang anak tunggal yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pentadbiran Perniagaan di Universiti of Cyberjaya (UOC) di Selangor.
“Selveston sepatutnya menamatkan pengajiannya November tahun ini, namun, pemuda itu diuji apabila kehilangan bapa akibat penyakit hati dan ibunya pula meninggal dunia akibat barah hanya dalam tempoh selang beberapa bulan sahaja, tahun lepas.
“Bayangkan, masa orang lain umur 25 tengah fikir nak mulakan hidup, dia pula tengah belajar macam mana nak bertahan bila semuanya ‘runtuh’ serentak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Steven berkata, Selveston yang kini terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri sebenarnya seorang yang pendiam dan mula bekerja sejak berusia 15 tahun sebagai pengawal keselamatan bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarganya sebelum ini.
Beliau berkata, selain menabung sendiri untuk tujuan pendidikan, Selveston juga masih bekerja sebagai penghantar, p-hailing ketika ini dengan meluangkan masa berjam-jam di atas motosikal selepas tamat kelas setiap hari termasuk pada hujung minggu serta pernah ditimpa kemalangan, baru-baru ini.
“Selveston turut membantu perbelanjaan sepupu perempuannya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di rumah keluarga mereka (di Pulau Pinang) selain menanggung yuran pengajiannya sendiri serta sewa rumah di ibu negara,
“Jadi, saya bantu yang paling asas dulu supaya dia (Selveston) boleh stabil dan fokus sampai habis belajar; RM5,000 sumbangan awal untuk dia urus perkara yang paling mendesak, bagi dia ‘tarik nafas’.
“Baki yuran universiti, sewa rumah, segala belanja tanggungan saya akan selesaikan supaya dia boleh tamatkan pengajian dengan tenang. Keseluruhan (sumbangan) hampir RM20,000,” kata Steven.-UTUSAN










