SPWinds harum nama negara, Amir Masdi sokong bakat muda ke pentas dunia - Utusan Malaysia

SPWinds harum nama negara, Amir Masdi sokong bakat muda ke pentas dunia

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kejayaan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna, Austria tahun lalu terus membuktikan keupayaan murid sekolah Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa melalui kecemerlangan seni muzik.

Pencapaian membanggakan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara orkestra sekolah terbaik negara, hasil pendidikan holistik yang menekankan disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan serta pembangunan bakat murid secara menyeluruh.

Kejayaan tersebut turut mencerminkan keberkesanan ekosistem sokongan melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam melahirkan murid berdaya saing di peringkat global.

Dalam usaha memperkasa pembangunan bakat murid, SPWinds kini menjalin kerjasama strategik dengan penyanyi popular, Amir Masdi, yang dilihat mampu memberikan nilai tambah signifikan kepada perjalanan seni dan pembelajaran muzik para pemuzik muda itu.

Mengulas kerjasama tersebut, Amir Masdi menyifatkan penglibatannya bersama SPWinds sebagai satu penghormatan besar dan peluang bermakna untuk menyokong bakat muda tanah air.

“Saya berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulung saya bersama SPWinds. Dedikasi, disiplin dan kesungguhan para pemuzik mudanya amat menginspirasikan.

“Saya berharap dapat menyumbang dan menyokong perjalanan mereka melalui muzik secara bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid terhadap dunia muzik profesional, malah menjadi persiapan penting SPWinds bagi penyertaan antarabangsa seterusnya termasuk World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB), Shah Rizal Jazib berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan kemenjadian murid terus menjadi teras utama pembangunan SPWinds.

“Kolaborasi ini merupakan satu pencapaian penting buat SPWinds. Penglibatan Amir Masdi mengukuhkan visi artistik kami dalam persediaan ke arah pentas antarabangsa, dengan sokongan berterusan ibu bapa dan komuniti melalui KSIB dan PIBG,” katanya.

Usaha pengumpulan dana bagi menyokong penyertaan antarabangsa SPWinds digerakkan oleh KSIB di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri, sekali gus mencerminkan sokongan padu komuniti terhadap pembangunan seni dan sahsiah murid.

Semua hasil kutipan konsert akan disalurkan sepenuhnya kepada SPWinds.

Pihak penganjur turut mengalu-alukan kerjasama sektor swasta, sumbangan individu serta tajaan korporat.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Januari 2026, jam 3 petang menerusi laman web TICKETEMPIRE di https://www.myticketempire.com/windsofglory dengan harga bermula RM178 hingga RM378.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pn. Lina Rashid (019-275 8571) atau Pn. Shahriyah (019-435 2090).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN