PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pegawai ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mendalami kepakaran kecerdasan buatan (AI) dalam aplikasi analisis kewangan dan pengukuhan kaedah siasatan berteknologi tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesepakatan tersebut dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Pihak Berkuasa Akauntabiliti Emiriah Arab Bersatu (UAEAA) dalam aspek pencegahan dan pembanterasan rasuah, termasuk penggunaan AI dalam siasatan kewangan.
“Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan keupayaan agensi kedua-dua pihak dalam menangani isu tadbir urus, meningkatkan integriti sektor awam serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada majlis menandatangan MOU itu di Abu Dhabi, Ahad lalu yang dikongsikan hari ini.
Azam berkata, melalui MOU itu, SPRM dan UAEAA bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah, selaras dengan standard serta amalan antarabangsa.
Terdahulu, Azam mengadakan pertemuan dengan Pengerusi UAEAA, Humaid Obaid Abu Shibs bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjasama antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam bidang pengurusan integriti, pencegahan rasuah, audit, akauntabiliti sektor korporat.
Beliau berkata, SPRM bersedia menawarkan bantuan dan kerjasama kepada UAEAA dalam apa jua bidang diperlukan, dari aspek penguatkuasaan, perisikan dan pencegahan rasuah.
Katanya,UAEAA diiktiraf sebagai badan tertinggi akauntabiliti dan ketelusan di UAE yang melapor secara langsung kepada kepimpinan tertinggi negara berkenaan.
“Ia juga yang berperan dalam melindungi dana awam serta pengukuhan tahap akauntabiliti menerusi dua sektor utama iaitu sektor pencegahan rasuah dan audit,” katanya. – UTUSAN










