PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggerakkan pendekatan lebih berani dan radikal dalam memerangi rasuah bagi tempoh lima tahun akan datang selari dengan landskap jenayah kewangan yang semakin kompleks dan sofistikated.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hala tuju strategik agensi itu bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan memberi penekanan kepada Three-Pronged Approach iaitu penguatkuasaan berkesan, pencegahan rasuah menyeluruh serta pengurusan organisasi yang efektif.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan digerakkan menerusi pelaksanaan yang merangkumi penguatkuasaan berimpak tinggi, pencegahan rasuah berasaskan data serta pengurusan yang mampan dan berintegriti.
“Pendekatan ini perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh warga SPRM bagi memastikan usaha membanteras rasuah benar-benar memberi kesan kepada negara dan rakyat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2026.
Dalam aspek penguatkuasaan, SPRM akan menumpukan kepada isu-isu kritikal dengan mengaplikasikan pendekatan berasaskan risiko (risk-based approach), khususnya melibatkan sektor berisiko tinggi seperti perolehan kerajaan, pengurusan dana awam, sempadan dan kartel.
Selain itu, kerjasama pelbagai agensi menerusi Multi Agency Task Force (MATF) akan terus diperkukuh bagi memastikan siasatan dan pemulihan aset hasil rasuah dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan menyeluruh.
SPRM juga akan memperhebatkan pemerkasaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML) dengan memberi tumpuan kepada siasatan berpusat, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama antarabangsa.
Dalam masa sama, Azama berkata penggunaan teknologi turut menjadi teras utama penyiasatan menerusi pendekatan technology-driven investigationyang melibatkan kecerdasan buatan (AI), analitik data, forensik digital dan big data.
Bagi pencegahan rasuah pula, Azam memberitahu, SPRM akan melaksanakan pendaftaran Risiko Rasuah (Corruption Risk Register) di sektor awam dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC), selain mengamalkan pencegahan secara proaktif dan bukannya bersifat reaktif.
“Pendekatan kreatif termasuk elemen seni dan kandungan inovatif antirasuah akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, di samping kolaborasi strategik bersama media, institusi akademik dan rakan strategik lain bagi mencapai impak maksimum,” jelasnya.
Dalam aspek pengurusan, Azam berkata, SPRM memberi keutamaan kepada sistem sokongan yang cekap dan responsif, pembudayaan kesejahteraan warga kerja serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme pegawai.
Katanya, perancangan penggantian kepimpinan (succession planning) turut ditekankan bagi memastikan kelangsungan kepimpinan yang berteraskan nilai stewardship dan integriti.
“Pada masa sama, SPRM turut menyasarkan kedudukan bertaraf global dengan memastikan pegawainya bersedia mewakili organisasi di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Azam berkata, sebagai simbol komitmen baharu itu, SPRM memperkenalkan tagline rasmi ‘Berani dan Radikal Perangi Rasuah’ yang melambangkan tindakan tegas, agresif serta berintegriti dalam membanteras jenayah rasuah, selaras dengan peruntukan undang-undang.
Amanat ini sekali gus menjadi penanda aras kepada gerak kerja SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah dilaksanakan secara menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi demi kepentingan negara. – UTUSAN










