JOHOR BAHRU: Sistem autogate atau pintu pagar automatik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah yang sebelum ini dilaporkan berdepan masalah teknikal telah pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sistem tersebut telah beroperasi sepenuhnya sejak tengah malam tadi.
“Sistem (autogate) telah kembali normal sejak tengah malam tadi. Operasi di kedua-dua CIQ iaitu di BSI dan KSAB berjalan seperti biasa.
“Dijangka tiada lagi kesesakan melampau seperti dilaporkan beberapa hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI dalam satu kenyataan terdahulu memaklumkan, sistem autogate di premis berkenaan yang berdepan masalah teknikal hanya melibatkan pemegang pasport asing.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan ribuan pengembara khususnya warga asing yang mahu memasuki negara ini terkandas sehingga hampir dua jam selepas sistem autogate yang beroperasi berdepan masalah gangguan teknikal.
Masalah tersebut melibatkan 39 mesin autogate di laluan masuk serta 29 di laluan keluar BSI manakala 12 lagi mesin autogate di KSAB. – UTUSAN










