Silat perlu terus diperkasa meskipun negara pesat membangun

Silat perlu terus diperkasa meskipun negara pesat membangun

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Ikon Pesilat Negara kepada Nur Izyanie Mysarah Noor Izham pada Majlis Penutup Himpunan Gema Pendekar Madani Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid di Sungai Petani, hari ini. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pembangunan pesat negara tidak seharusnya meminggirkan ilmu seni bela diri terutama silat yang perlu terus diperkasa dan tidak dilupakan oleh orang Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun negara mencatatkan kemajuan dalam pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pembinaan pusat data, seni silat harus terus berakar sebagai budaya.

Kata beliau, setiap sekolah, kampung dan pinggir kota perlu ada kumpulan silat supaya dapat membakar semangat dan daya juang orang-orang Melayu.

“Bagi pihak kerajaan Madani yang saya juga memegang amanahnya, akan menyatakan kita akan terus bekerja memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang hebat dan berjaya di rantau Asia.

“Tetapi kita juga mahu negara ini berakar ke bumi, orang-orang Melayu tidak hilang jati diri, nak angkat martabat, harakat dan darjat bangsa dengan menimba ilmu yang baru tetapi masih berakar kepada sejarah bangsa termasuk seni silat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Himpunan Gema Pendekar Madani Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr. Raja Abdul Majid di sini, malam ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan pesilat menjaga akhlak dan bertaut kepada akidah Islam, memperkukuh silaturahim dan pada masa sama menerima kenyataan bahawa negara memiliki kepelbagaian kaum dan agama.

“Dunia berubah, mesti ada kekuatan ilmu, mesti ada kefahaman tentang teknologi tetapi apabila kita berakar kepada bumi, kita tidak hilang budaya Melayu, kita tidak lupa jati diri dan sejarah bangsa kita.

“Apa yang diajari dalam silat ini mulanya akidah keimanan. Kekuatan kita yang berasaskan keyakinan kita tapi mesti terpancar dari akhlak yang baik. Bukan angkuh, bukan sombong, bukan dengan ada sedikit latihan menunjukkan keangkuhan kita.

“Lagi pintar, lagi besar pendekarnya, lagi hebat latihannya, lagi gagah perkasa dirinya, lagi hormat memuliakan orang lain, lagi rendah diri, lagi tawadduk ini yang kita mahukan kerana akhlak yang membentuk diri kita dan peribadi kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN