Setiap projek kecil berimpak tinggi dipastikan dilaksana, siapkan ikut masa, kualiti

Setiap projek kecil berimpak tinggi dipastikan dilaksana, siapkan ikut masa, kualiti

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Ekonomi dan Perhimpunan Bulan Januari 2026. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua projek-projek kecil berimpak tinggi akan dipastikan mula dilaksanakan serta disiapkan mengikut masa dan kualiti.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Amanat Tahun Baharu 2026 telah mengarahkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya supaya memastikan hal-hal berkaitan projek kecil dilaksanakan dengan sesegera mungkin.

“Pelaksanaan projek-projek kecil ini yang berpaksikan rakyat akan memberi kesan yang paling cepat dan paling dirasai oleh rakyat. Apabila jambatan rosak, jalan desa berlubang, kuarters usang, klinik dan sekolah daif dapat diselesaikan segera, rakyat melihat kerajaan hadir menyelesaikan masalah sebenar di lapangan, bukan sekadar berbicara tentang projek mega.

“Inilah bentuk penyampaian yang meningkatkan keyakinan rakyat, mengurangkan rungutan, serta memperkukuh keselamatan dan akses harian terutama untuk anak-anak ke sekolah dan masyarakat luar bandar,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Ekonomi dan Perhimpunan Bulan Januari 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, pada masa sama kementerian perlu memastikan setiap usaha atau inisiatif projek-projek kecil ini siap, berjalan lancar dan benar-benar dirasai oleh rakyat di luar sana.

“Ini menjadi cabaran kepada kita di samping usaha kita dalam memastikan data ekonomi yang dilaporkan menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan memberansangkan.

“Yang paling penting, impaknya bukan sahaja menambah baik prasarana asas, tetapi turut merancakkan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan tempatan, dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan desa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN