Selangor belum penuhi standard Pan Gon

Selangor belum penuhi standard Pan Gon

Pemain Selangor, Chigor Flores Moraes cuba melepasi penjaga gol Kelantan TRW FC, Damyan Valeriy Damyanov dalam saingan Piala Malaysia di Stadium MBPJ di sini, malam ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon belum berpuas hati dengan corak permainan skuad Gergasi Merah biarpun berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Kelantan The Red Warriors (TRW) dengan agregat 5-1.

Menurut Pan Gon, pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin, Selangor gagal memulakan perlawanan dengan tempo diinginkan, sekali gus menampakkan beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki.

“Saya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan, namun masih banyak aspek perlu dipertingkatkan jika kami mahu mencapai tahap lebih tinggi.

“Kami bermula agak perlahan, pergerakan bola tidak cukup pantas dan kedudukan pemain juga kurang kemas,” katanya.

Beliau menjelaskan, perubahan lima pemain dalam kesebelasan utama berbanding perlawanan terdahulu turut memberi kesan terhadap kelancaran permainan, namun situasi itu disifatkan sebagai perkara biasa, terutama bagi pemain yang lama tidak mendapat minit permainan.

“Lima pemain ini sudah lama tidak beraksi dan kekurangan minit permainan. Mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri, tetapi selepas 20 minit saya lihat prestasi mereka mula meningkat,” jelasnya.

Pan Gon turut memuji peningkatan dipamerkan Selangor pada separuh masa kedua sebelum satu insiden tidak diingini berlaku apabila pemain muda, Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah akibat terjahan keras ke atas Albert Kang pada minit ke-60.

“Saya fikir itu bukan tindakan yang sepatutnya. Pengalaman ini penting untuknya, terutama dalam mengendalikan tekanan perlawanan dan mengelakkan situasi kad merah,” katanya.

Tambah Pan Gon, Harith Haiqal masih muda dan perlu mengambil pengajaran daripada kesilapan tersebut, walaupun mengakui pemain itu pasti kecewa kerana terlepas peluang beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Tugas saya sebagai jurulatih adalah membantu dan membimbingnya supaya dia dapat berkembang menjadi pemain yang lebih matang dan berdisiplin,” katanya.

Lawan menanti Selangor di suku akhir diantara pemenang Imigresen FC ataupun Negeri Sembilan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN