Selalu pergi ‘casting’,  tampil matang bantu padam persepsi pelakon kanak-kanak - Utusan Malaysia

Selalu pergi ‘casting’,  tampil matang bantu padam persepsi pelakon kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Memulakan kerjaya lakonan seawal usia sembilan tahun, pelakon, Khayrisyah Kemal mengakui kelangsungan dalam dunia seni menuntut usaha berterusan dan tidak boleh bergantung kepada populariti silam semata-mata.

Walaupun dikenali menerusi watak Malin dalam siri popular Keluarga Iskandar, Khayrisyah, 23, enggan berada di zon selesa sebaliknya terus aktif menghadiri sesi uji bakat bagi mencari peluang baharu dalam bidang lakonan.

“Saya masih pergi casting dan tidak pernah terfikir untuk bersikap pasif atau hanya menunggu tawaran datang. Bagi saya, jika benar-benar meminati bidang ini, usaha itu perlu konsisten.

“Mungkin ada masa tawaran kelihatan perlahan, tetapi ia bergantung kepada sejauh mana kita berusaha. Sebab itu saya tidak jemu turun padang mencari peluang,” katanya.

Khayrisyah ditemui semasa lawatan media ke set penggambaran filem Kacau di NSTP Shah Alam, Jumaat lalu.

Mengulas cabaran peralihan daripada pelakon kanak-kanak kepada watak dewasa, Khayrisyah berkata, kebolehan membawa diri dengan matang menjadi kunci utama dalam mengubah persepsi penerbit dan pengarah.

Menurutnya, kematangan perlu ditonjolkan secara menyeluruh termasuk daripada segi pemikiran, penampilan serta tahap profesionalisme ketika berada di set penggambaran.

“Sebagai pelakon yang membesar di set, saya banyak belajar daripada kru dan pengarah. Dari situ saya faham cara kerja dan pemikiran mereka.

“Apabila kita tahu menjaga batas pergaulan dan membawa diri dengan baik, orang akan lebih yakin serta menghormati kemampuan kita untuk menggalas watak matang. Kita perlu bijak mempamerkan imej diri kepada umum,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon I.D ini menyifatkan gelaran pelakon kanak-kanak yang masih sinonim dengan dirinya bukan satu beban, sebaliknya penghargaan bermakna daripada peminat.

“Orang masih melihat saya sebagai Malin dan saya selesa dengan perkara itu. Ia satu pencapaian apabila kita masih diingati. Saya gembira apabila peminat menganggap saya sebahagian daripada kenangan zaman kanak-kanak mereka,” katanya.

Menyentuh soal peribadi, Khayrisyah berkata, dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya lakonan selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi menjaga konsistensi kerja dan kesihatan mental.

Ujarnya, pengalaman membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya sejak usia muda menuntut pengorbanan besar, justeru keputusan itu dibuat dengan pertimbangan matang.

“Sepanjang zaman persekolahan, pembahagian masa agak mencabar dan memberi kesan kepada fokus serta mental. Buat masa ini, saya mahu fokus pada lakonan. Jika suatu hari nanti saya mahu berhenti, ketika itu barulah saya pertimbangkan untuk menyambung pelajaran,” katanya.

Terdahulu, pelakon kanak-kanak, Mia Sarah Nasuha mendedahkan kesukaran mendapatkan tawaran watak dewasa berikutan persepsi pihak produksi yang masih melihat dirinya terikat dengan karakter kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN