PETALING JAYA: Pelakon, Liza Abdullah, memaklumkan dia tidak akan sesekali melakukan prosedur kosmetik yang mengubah wajah.
Katanya, sebagai individu beragama Islam, dia sedar dalam menjaga dan mengekalkan kecantikan, ada batas yang tidak boleh dilanggar.
“Mestilah kita nak kelihatan cantik, lebih-lebih lagi apabila sudah berusia. Bohonglah kalau saya kata saya tak nak cantik.
“Dan sebagai selebriti, kami beruntung kerana sentiasa menerima tajaan untuk membuat rawatan wajah.
“Tapi prinsip saya, selagi rawatan atau prosedur itu tidak mengubah wajah, tapi tetap memberi keyakinan kepada diri, saya akan buat. Itu pun dengan syarat yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai kecantikan semula jadi, pelakon berusia 61 tahun ini tidak menafikan penjagaan diri sejak muda membawa kebaikan di usia lanjut.
“Saya sejak muda tak pernah merokok, sentuh benda tak elok. Malah bermula usia 25 tahun, saya sudah mula menjaga pemakanan, ambil vitamin dan suplemen kesihatan kulit dan dalaman.
“Mungkin kerana disiplin menjaga pemakanan dan mengelakkan perkara tak elok masuk dalam badan, vitamin dan suplemen yang saya makan sejak dulu itu memberi kesan sampai sekarang,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Sumpah Ibuku itu memaklumkan mahu atau tidak, dia wajib menjaga kecantikan dan kesihatan yang menjadi tuntutan pekerjaan sebagai pelakon.
“Saya ini tidaklah terlalu cantik. Kalau di rumah, saya ini serabai juga.
“Tapi saya kena jaga kecantikan kerana sebagai pelakon, diri saya ini selalu menjadi tatapan umum. Penonton mahu tengok pelakon itu cantik, elok.
“Jadi, mahu atau tidak, memang kena cantik,” kongsinya lagi. – UTUSAN










