Sekelip mata Allah gerakkan hati Amyza Adnan berhijab - Utusan Malaysia

Sekelip mata Allah gerakkan hati Amyza Adnan berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Amyza Adnan, 50, menganggap keputusannya untuk berhijab sebagai satu keajaiban, hasil gerakan hati yang diberikan Allah dalam sekelip mata.

Menurut Amyza, semuanya berlaku secara spontan, sekali gus membuatkan beliau bertekad mengekalkan imej bertudung secara rasmi sejak Oktober 2025.

“Tiada dorongan daripada sesiapa. Apabila saya sudah bertudung, barulah saya sedar bahawa apabila Allah berkehendak, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Semalam saya mungkin langsung tidak terfikir untuk memakai tudung, tetapi keesokan harinya ia berlaku,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! di TGV Cinema, Suria KLCC, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Amyza menegaskan perubahan imejnya itu bukan disebabkan ujian atau dugaan hidup. Malah, penghijrahan beliau turut menjadi salah satu hasrat anak-anak.

“Ramai yang beranggapan keputusan saya berhijab mungkin kerana dugaan, tetapi sebenarnya tidak. Apa yang mendorong saya berhijab ialah keinginan untuk merasakan diri saya ‘mahal’. Anak-anak juga suka dengan perubahan ini,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai punca tergerak hati berhijab, Amyza memilih untuk tidak memperbesarkan perkara tersebut bagi mengelak salah faham.

“Saya pilih untuk tidak berkongsi secara terperinci. Bimbang jika terlalu banyak bercerita, timbul pelbagai pandangan dan perbalahan. Setiap orang ada pendapat sendiri, jadi saya simpan sebagai urusan peribadi,” katanya.

Sepanjang tempoh berhijab, Amyza yang dilihat menitiskan air mata kerana merasakan hidupnya lebih tenang dan menganggap ia sebagai hadiah daripada Allah.

“Sukar digambarkan dengan kata-kata perasaan bila sudah mula berhijab. Cuma saya rasa Allah sangat menyayangi saya. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Alhamdulillah, selepas berhijab, tawaran kerja masih ada dan dari segi batasan, saya memang sudah menjaganya sejak sebelum ini.

“Melainkan ada adegan kasar yang benar-benar diperlukan, itu terpaksa dilakukan. Namun sekarang, semuanya berjalan dengan baik. Mudah juga bekerjasama dengan pelakon lelaki kerana mereka memahami dan menghormati batas,” katanya.

Terkini, Amyza bakal membintangi drama Anugerah Tanpa Cahaya, yang akan bersiaran di platform Tonton pada 16 Mac ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN