KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli mengakui sudah pasrah dan menyerahkan sepenuhnya status rumah tangga yang dibina selama empat tahun bersama, selebriti Uqasha Senrose, kepada prosiding hakam keluarga yang berlangsung hari ini.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira pukul 9.30 pagi dengan diiringi peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Menurut pelakon itu, prosiding hakam menandakan perkahwinan mereka berada di fasa penghujung.
“Hari ini prosiding hakam pertama. Sejujurnya saya pun tidak tahu hendak berkata apa lagi.
“Saya tidak berani mengulas lebih lanjut. Apabila sudah masuk prosedur hakam, sebenarnya ini sudah di hujung-hujung,” katanya.
Kamal ditemui Utusan Malaysia ketika menghadiri prosiding hakam keluarga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Ditanya sama ada beliau bersedia menerima sebarang keputusan, pelakon drama Dia Imamku itu mengakui telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan rumah tangga mereka.
“Kalau tiada jodoh, Wallahualam (Allah sahaja yang tahu). Kita tengok bagaimana nanti.
“Tetapi saya sudah cuba sehabis baik dari awal lagi. Saya sudah berusaha untuk mempertahankan perkahwinan ini dan kini hanya menunggu proses hakam,” ujarnya.
Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, yang turut hadir bersama peguamnya, Muhammad Syazmee Sapian, berharap segala urusan berjalan dengan lancar.
“Doakan yang baik-baik,” katanya ringkas kepada media.
Sebelum ini, Uqasha mencetuskan perhatian ramai apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang perkahwinan mereka, termasuk dipukul dan dikasari ketika sedang hamil.
Bagaimanapun, Kamal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan tidak pernah memukul isterinya sepanjang empat tahun mendirikan rumah tangga.
Mahkamah sebelum ini menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati wujud unsur shiqaq atau perbalahan berpanjangan antara pasangan itu.
Namun, Kamal enggan berbuat demikian dengan alasan masih menyayangi anak mereka.
Terdahulu, pada Oktober 2025, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal atas alasan tiada persefahaman dan berlakunya pergolakan rumah tangga.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN











