GEORGE TOWN : Sebelas penghuni berjaya menyelamatkan diri apabila lima unit rumah kedai dua tingkat di Lebuh Presgrave di sini hampir musnah dalam satu kebakaran kira-kira pukul 9.44 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kebakaran itu, seekor kucing milik penghuni yang dipercayai terperangkap turut berjaya diselamatkan.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 28 anggota bomba terlibat dalam operasi itu dengan bantuan jentera daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Bagan Jermal serta sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kesemua lima unit rumah kedai yang terbakar itu mengalami kemusnahan antara 10 hingga 80 peratus manakala semua mangsa yang terselamat berjaya keluar dari premis terbabit sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO),” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 10.08 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 1.53 pagi tadi.
“Kes kemudian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut,” katanya yang memaklumkan, salah satu daripada lima unit rumah kedai yang terbakar itu telah dijadikan stor untuk menyimpan pelbagai perkakasan.-UTUSAN










