DENGKIL: “Ini kali kedua saya ambil dadah untuk memandu. Tak sangka, kali ini (malam ini) kantoi (ditahan).’
Itu pengakuan dibuat seorang pemandu lori perdagangan yang ditahan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam tadi.
Pemandu lori berusia lingkungan 40 an itu yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu ditahan selepas positif ganja selepas ujian saringan kencing oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketika di soal siasat, pemandu lori itu mendakwa kali kedua mengambil ganja ketika memandu kerana mahu mengelak rasa mengantuk bagi perjalanan jauh.
Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadli Ramli menjelaskan, beliau mengakui ada segelintir pemandu mengambil bahan terlarang termasuk ganja bagi elak mengantuk ketika memandu dan mahu mengejar ‘trip’.
Katanya, dalam operasi sama, seramai 21 pemandu telah ditahan dan diperiksa sebelum diarahkan menjalani ujian air kencing.
“Daripada jumlah itu, lima individu didapati positif dadah dengan empat kes membabitkan pengambilan Methamphetamine dan satu kes ganja,” katanya.
Katanya, kesemua mereka akan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Terdahulu, operasi bermula pukul 8 hingga 10 malam itu telah memeriksa 289 kenderaan dan 94 daripadanya telah diambil tindakan kerana melanggar pelbagai kesalahan. – UTUSAN










