PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan keputusan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, sebulat suara menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Samirah serta dua remaja itu daripada pertuduhan berkenaan.
“Setelah meneliti alasan bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kami tidak mendapati wujud sebarang kesalahan pada alasan yang diberikan oleh kedua-dua mahkamah ketika membebaskan ketiga-tiga responden.
“Berdasarkan hujahan bertulis dan lisan perayu serta responden, kami tidak dapat menyatakan bahawa pertuduhan telah dibuktikan secara prima facie di akhir kes pendakwaan.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan, antara lainnya, bahawa ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya boleh membawa kepada kematian,” kata hakim itu.
Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.
Dalam penghakimannya, Hakim Abu Bakar berkata, keterangan ikut keadaan gagal membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan, khususnya dengan kewujudan seorang individu keempat yang berada di dalam rumah berkenaan.
“Secara keseluruhannya, kami sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta menolak rayuan perayu,” katanya.
Pada 8 Februari 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Samirah, 51, yang juga balu Nazrin, serta dua lagi remaja yang kini masing-masing berusia 20 dan 23 tahun, daripada pertuduhan tersebut.
Ketiga-tiga mereka bersama seorang wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokan harinya.-UTUSAN










