PUTRAJAYA: Kerajaan komited melaksanakan keputusan berkaitan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah dan proses perbincangan rasmi telah dimulakan seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebelum ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, turut dibincangkan termasuklah status pelaksanaan keputusan mahkamah dan perkembangan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu berakhir semalam.
“Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan pada bulan ini, maksudnya dalam satu ke dua minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan memperinci kedudukan dan hala tuju rundingan itu dalam masa terdekat.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah diingatkan mengenai garis masa pelaksanaan yang telah ditetapkan, khususnya keperluan memulakan proses dalam tempoh 90 hari pertama.
Katanya, berdasarkan keputusan mahkamah, dalam tempoh 180 hari, semua perkara berkaitan pembayaran, mekanisme pelaksanaan serta perincian lain perlu dimuktamadkan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Tempoh 90 hari seterusnya masih berbaki dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan rundingan berjalan lancar serta mencapai persetujuan muktamad.
“Komitmen kerajaan adalah untuk menunaikan perjanjian yang telah dimeterai oleh Persekutuan Malaysia, termasuk perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah,” katanya.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah. – UTUSAN










