RM242 juta naik taraf sistem amaran awal cuaca

RM242 juta naik taraf sistem amaran awal cuaca

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM242 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca melibatkan beberapa projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM).

“Kerajaan memperuntukkan RM242 juta bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca merangkumi projek peningkatan sistem ramalan dan pembinaan radar cuaca, selain RM18 juta di bawah RMK-13 bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai tahap keberkesanan Sistem Amaran Awal (EWS) dalam memberi makluman pantas dan menyeluruh berkaitan ancaman bencana, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, peruntukan itu bertujuan memperkukuh keupayaan pengesanan dan ramalan bencana supaya maklumat amaran dapat disampaikan dengan lebih cepat, tepat dan bersasar kepada komuniti berisiko.

Katanya, MetMalaysia turut mempertingkat keupayaan ramalan melalui penambahbaikan Radar Integrated Nowcasting System (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.

“Pada masa sama, sistem Numerical Weather Prediction (NWP) turut dipertingkat dengan penggunaan teknologi Pengkomputeran Prestasi Tinggi serta penerapan kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan analitik data raya,” katanya.

Arthur berkata, penambahbaikan itu membolehkan ramalan cuaca dijana sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi lebih tinggi iaitu 300 meter berbanding satu kilometer sebelum ini.

Dalam aspek penyampaian maklumat, katanya, MetMalaysia menggunakan pelbagai saluran komunikasi termasuk sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi myCuaca, laman sesawang rasmi, media sosial serta siaran radio dan televisyen dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan.

“Bermula tahun ini, tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami disasarkan dipercepatkan daripada lapan minit kepada enam minit selepas kejadian dikesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×