Revenue Discovery, WKM meterai kerjasama strategik, gabung teknologi digital kualiti di TKMPN 2025 - Utusan Malaysia

Revenue Discovery, WKM meterai kerjasama strategik, gabung teknologi digital kualiti di TKMPN 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Firma teknologi Revenue Discovery Sdn Bhd (RD) dan pakar runding kualiti, PT Wahana Kendali Mutu (WKM) mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkasakan integrasi digital dan pengurusan kualiti industri di rantau ini.

Memorandum tersebut dimeterai bersempena Temu Karya Mutu & Produktivitas Nasional (TKMPN) XXIX 2025 di Batam, sebuah persidangan berprestij yang menghimpunkan lebih 2,400 pemain industri daripada sektor pembuatan, kesihatan, dan perbankan.

Kerjasama rentas sempadan ini bakal menyaksikan kedua-dua pihak membangunkan modul latihan hibrid dan pelaksanaan projek transformasi digital.

Fokus utama adalah mengintegrasikan metodologi produktiviti seperti Six Sigma, 5S, dan Quality Control Circle (QCC) dengan sistem pengurusan berasaskan data (data-driven management).

Pengarah Urusan Revenue Discovery, Ts. Muhammad Syahmi Sadan menyifatkan gabungan ini sebagai respons kepada keperluan pasaran semasa yang menuntut kebolehskalaan (scalability).

“Transformasi digital tidak boleh berdiri sendiri tanpa asas kualiti yang kukuh. Melalui kolaborasi bersama WKM, kita tidak sekadar menawarkan teknologi, tetapi satu penyelesaian holistik di mana strategi digital disokong oleh disiplin operasi yang terbukti berkesan,” katanya.

Senada, Pengarah WKM, Damayanti melihat kerjasama ini sebagai lonjakan nilai tambah bagi klien korporat.

“Kekuatan WKM dalam bimbingan produktiviti kini diperlengkap dengan perspektif teknologi daripada RD. Ini membolehkan organisasi membina daya saing mampan, bukan sekadar membaiki proses dalaman semata-mata,” katanya.

Pemeteraian di TKMPN 2025 ini dilihat strategik memandangkan acara tersebut menjadi platform utama bagi inovasi sektor swasta dan GLC di Indonesia, sekaligus membuka ruang untuk penyelesaian ini diuji terus dalam pasaran yang luas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN