PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026 2035, sebuah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian itu, peluncuran RPN akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa ini sebagai satu iltizam Kerajaan Madani dalam memperkukuh sistem pendidikan bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
Di peringkat KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 adalah dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“Ia sebagai kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).
“RPTM 2026-2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan 181 orang pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi para sarjana, tokoh akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya hari ini.
Jelas kenyataan itu, RPTM 2026–2035 merupakan dokumen yang bersifat dinamik iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.
Katanya, fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara yang dipacu matlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.
“Selain itu, integrasi teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) turut akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum dan penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan. katanya.
“RPTM 2026-2035 turut memfokuskan kepada keterangkuman akses dengan usaha memperluas pendidikan tinggi serta pemerkasaan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serantau,” katanya.
Manakala, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara yang digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi.
Katanya, ia memberi penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.
“Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa.
“Ia bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN










