Rakyat mahu pengukuhan ringgit turut dapat kurangkan kos sara hidup - Utusan Malaysia

Rakyat mahu pengukuhan ringgit turut dapat kurangkan kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majoriti rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap pengukuhan nilai ringgit yang kini berada pada paras ter­tinggi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka berharap perkembangan itu memberi kesan lebih nyata terhadap kos sara.

Penghantar makanan, Mohd. Khairun Nizam Mohd. Zaki berkata, harga barangan dalam negara sepatutnya beransur-ansur turun selepas ini, sekali gus menunjukkan keredaan tekanan inflasi dirasai rakyat.

“Jika benar ringgit semakin kuat, kos import sepatutnya menjadi lebih murah dan harga barangan perlu turun, perkara itu kita harap berlaku.

“Pengukuhan ringgit jangan hanya cantik atas kertas dan tidak memberi kesan sebenar kepada rakyat. Kejayaan mata wang tidak bermakna jika rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru, Muhammad Fauzi Saad, 56, mengakui, pengukuhan ringgit memberi impak positif daripada sudut makroekonomi dan imej kewangan negara, namun kenaikan harga emas terlalu tinggi mencerminkan ketidaktentuan ekonomi global serta kebimbangan terhadap inflasi.

“Bagi rakyat biasa, manfaat kenaikan harga emas adalah terhad kerana ia lebih menguntungkan pelabur dan pemilik emas, bukan pengguna harian. Penurunan harga barangan import juga masih belum dirasai ketara,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Zurina Shariff, 53, berkata, setakat ini penurunan harga barangan belum berlaku secara ketara, mungkin disebabkan pelbagai faktor ekonomi semasa.

“Walaupun bantuan kerajaan membantu meringankan beban rakyat, ia bukan penyelesaian jangka panjang sepenuhnya terhadap isu kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN