BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM21.88 juta susulan penahanan tiga buah kontena di tiga lokasi berasingan pada 19 Disember lalu.
Pengarahnya, Datuk Rohaizad Ali berkata, kontena-kontena itu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri selepas intipan dilakukan selama beberapa minggu.
Beliau berkata, kontena pertama ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dan hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya kemudian merampas sebanyak 73,200 tin minuman keras jenis bir yang dianggarkan bernilai RM631,075.50 termasuk cukai yang dimuatkan dalam kontena berkenaan.
Katanya, kontena kedua dan ketiga yang secara keseluruhannya memuatkan sebanyak 20,782,000 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM21.24 juta termasuk cukai pula masing-masing ditahan di sebuah gudang di kawasan Sungai Jawi dan di Perai, di sini.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini tidak membuat ikrar terhadap barangan yang dibawa ketika tiba di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan kita percaya barangan yang dibawa dari Singapura ini berkemungkinan memang menyasarkan pasaran tempatan.
“Ketiga-tiga pemandu kontena iaitu lelaki warga tempatan yang berusia antara 40 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya yang memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini termasuk bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua penyeludupan itu didalangi oleh sindiket yang sama atau sebaliknya.
Jelas Rohaizad, rokok dan minuman keras diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan masing-masing tertakluk di bawah item No. 1 dan No. 3 Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Sehungan itu, beliau yang turut meminta kerjasama daripada orang awam untuk membantu pihak kastam dalam memerangi kedua-dua jenis kegiatan penyeludupan itu selain beberapa kegiatan penyeludupan seperti mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.-UTUSAN










