SEPANG: Ladang Solar Fotovoltaik Aeropolis bersama Sistem Penstoran Tenaga (BESS) bagi kegunaan khusus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
Sebaik siap sepenuhnya kelak, projek itu dijangka menjana sekitar 46 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik hijau setahun bagi kegunaan lapangan terbang utama negara itu adalah sebahagian usaha memperkukuh daya tahan tenaga dan menyokong agenda penyahkarbonan infrastruktur kritikal negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek ini melambangkan pendekatan baharu peralihan tenaga negara yang bukan sahaja menambah kapasiti penjanaan, tetapi membina sistem tenaga yang lebih fleksibel dan berdaya tahan.
“Sebagai hab pengangkutan utama negara, KLIA memerlukan bekalan tenaga stabil, selamat dan berkualiti tinggi bagi memastikan kesinambungan operasi lapangan terbang.
“Projek ini juga menyokong aspirasi Malaysia Airports Holding Bhd (Malaysia Airports) untuk mencapai campuran tenaga boleh baharu sebanyak 20 peratus menjelang 2030 serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan kumpulan dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya ketika berucap merasmikan projek itu, di sini hari ini.
Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan menerusi Cenergi Aeropolis Renewable Energy Sdn Bhd (CARE), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) hasil kerjasama strategik antara Malaysia Airports dan Cenergi SEA Bhd, di bawah program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SELCO).
Projek itu membabitkan pembangunan ladang solar berkapasiti 36 megawatt-peak (MWp) yang digabungkan dengan Sistem Penstoran Tenaga (BESS) berkapasiti 45 megawatt-jam (MWh), antara projek terawal berskala besar di Malaysia yang mengintegrasikan solar dan penstoran tenaga bagi kegunaan sendiri.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, projek BESS itu bukan sekadar inisiatif tenaga boleh baharu, tetapi langkah strategik untuk menyokong penyahkarbonan serta meningkatkan daya tahan tenaga bagi infrastruktur pengangkutan negara yang kritikal.
Katanya, tahun lalu, KLIA mengendalikan 63.3 juta penumpang, sekali gus menuntut sistem bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan bagi memastikan kesinambungan operasi serta kualiti perkhidmatan.
Selain infrastruktur tenaga, pembangunan Aeropolis Solar Park turut merangkumi perancangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Baharu, yang akan menjadi platform pembelajaran, perkongsian pengetahuan dan pembangunan keupayaan dalam bidang tenaga bersih. – UTUSAN










