KUALA LUMPUR: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan antara pemimpin parti Perikatan Nasional (PN) yang telah tiba bagi menghadiri mesyuarat yang berlangsung di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, malam ini.
Bagaimanapun tidak dapat disahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ataupun tidak malah wakil daripada parti itu juga masih belum kelihatan di lokasi mesyuarat.
Punithan, yang tiba sekitar pukul 8.21 malam berkata, pertemuan itu merupakan satu “mesyuarat pra-majlis’ menjelang Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan bagi membincangkan hala tuju gabungan berkenaan.
Dominic Lau, turut tiba pada waktu yang hampir sama namun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.
Mesyuarat malam ini dipanggil oleh Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
tidak lama selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang turut dijadualkan berlangsung pada malam yang sama, namun mesyuarat itu kemudiannya dibatalkan.
Difahamkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN itu sepatutnya mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, selain melantik pengganti bagi jawatan berkenaan.
Mesyuarat malam ini dijangka menyaksikan perbincangan dalam kalangan presiden parti komponen PN berkaitan penstrukturan semula gabungan itu serta cadangan pindaan perlembagaannya.
Dalam surat yang tular semalam, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan Pas telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu dalam satu mesyuarat yang diadakan di kediamannya lebih seminggu lalu.
Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa, kedua-dua parti bersetuju supaya Majlis Presiden yang dipengerusikan oleh Bersatu menjadi badan pembuat keputusan tertinggi PN
Manakala Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas mengendalikan aspek pentadbiran gabungan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan pada 16 Januari lalu.
Dalam surat berasingan, Abdul Hadi Awang dilapor menyatakan pendirian Pas bahawa Majlis Presiden hanya berperanan sebagai badan penasihat, manakala Majlis Tertinggi PN kekal sebagai badan pembuat keputusan eksekutif gabungan itu. – UTUSAN










