Polis tumpaskan kumpulan samun menyamar pegawai imigresen

Polis tumpaskan kumpulan samun menyamar pegawai imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai imigresen dalam kejadian di Bukit Tengah di sini dua minggu lalu susulan tertangkapnya dua daripada enam suspek di dua lokasi berasingan pada 18 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek pertama yang berusia 38 tahun diberkas di Bukit Jalil, Kuala Lumpur manakala suspek kedua yang berusia 32 tahun pula ditahan di Ampang, Selangor.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis kemudian merampas sebuah kenderaan jenis Proton X70 berwarna putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian, beberapa buah telefon bimbit, pakaian serta aksesori yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing pula mengesahkan bahawa kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya yang memberitahu, kedua-dua tangkapan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, esok.

Dalam pada itu, Helmi memberitahu, polis kini sedang giat mengesan empat lagi suspek yang masih bebas kerana mereka dipercayai turut terlibat dengan kejadian tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Inspektor Fahkrul di talian 016-3374941 atau datang ke mana-mana balai polis yang berdekatan untuk membantu siasatan,” ujar beliau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, 13 Januari itu, enam suspek lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka yang menaiki kenderaan Proton X70 dikatakan telah berhenti di hadapan rumah seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun.

Mangsa yang juga pengadu mendakwa, lima daripada lelaki terbabit memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai imigresen sebelum bertindak menggeledah rumahnya sambil mengacukan sebilah parang.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek turut melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM4,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN