Polis tahan dua lelaki, bongkar sindiket dadah jenis MDMA

Polis tahan dua lelaki, bongkar sindiket dadah jenis MDMA

SEBAHAGIAN daripada dadah jenis MDMA yang dirampas oleh polis dalam satu operasi bersepadu di sekitar George Town, Pulau Pinang bermula kelmarin.-GAMBAR/PDRM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penahanan dua lelaki warga tempatan dalam satu operasi bersepadu di sekitar bandar raya ini semalam membawa kepada pembongkaran satu sindiket pengedaran dadah jenis MDMA dengan nilai rampasan keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM347,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 47 dan 53 tahun itu ditahan oleh Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dalam operasi yang bermula kelmarin.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati, kegiatan pengedaran dadah itu telah aktif sejak Oktober 2025 bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 6,928 individu atau bagi 6,928 kali penggunaan.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala semakan rekod lampau pula mengesahkan bahawa suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek kedua pula mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Abdul Rozak berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan melibatkan tiga buah kenderaan, wang tunai serta sebentuk cincin.

“Jumlah sitaan harta ini dianggarkan bernilai RM277,800 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM624,800,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN