GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang kini sedang menggiatkan usaha memburu seorang tahanan reman yang didakwa telah melarikan diri ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap di Nibong Tebal, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.45 petang dan laporan berhubung insiden tersebut diterima daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek.
Menurut beliau, suspek dikenali sebagai S. Clemont, 47, dan ketika melarikan diri, dia dipercayai memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih.
“Suspek telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap pada 22 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami sawan dan ketika itu, dia direman bagi kes di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah dan mencuri motosikal di kawasan Sungai Bakap.
“Susulan kejadian itu juga, pihak polis kini telah melancarkan Op Tutup bagi mengesan dan menahan semula suspek,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Alwi berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan penjawat awam yang secara cuai menyebabkan seseorang melarikan diri daripada pengurungan yang sah di sisi undang-undang serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melarikan diri daripada tahanan yang sah.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Cheok Kian Soon di talian 012-6193878 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-5858222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujar beliau.-UTUSAN










