PM ucap tahniah kepada atlet Malaysia di APG Thailand 2025

PM ucap tahniah kepada atlet Malaysia di APG Thailand 2025

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kontinjen Malaysia yang mencatat prestasi cemerlang di Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025.

Kontinjen negara menamatkan kempen dengan mengutip 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa, sekali gus menempatkan Malaysia di tangga ketiga keseluruhan.

Pencapaian itu juga menandakan peningkatan berbanding edisi 2023 di Kemboja yang mana Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh atlet para negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di APG Thailand 2025. Malaysia berbangga dengan semangat juang kalian yang membuahkan 64 emas, 64 perak dan 73 gangsa untuk meletakkan kita di tangga ketiga keseluruhan, sekali gus memperbaiki kedudukan berbanding edisi 2023.

“Saya tersentuh melihat kegigihan kalian mengejar impian tanpa menjadikan keterbatasan sebagai alasan. Terima kasih kerana mengingatkan kita semua tentang makna sebenar usaha, disiplin dan keyakinan diri. Tahniah wira negara!,” katanya menerusi kenyataan di platform Facebook hari ini.

Malaysia dijadual menjadi tuan rumah APG 2027, sekali gus membuka peluang untuk kontinjen negara mengukir prestasi lebih gemilang di tanah sendiri.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada 2017 dengan kontinjen negara muncul naib juara di belakang Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN