PM arah peruntukan segera ganti jambatan runtuh di Lata Rek

PM arah peruntukan segera ganti jambatan runtuh di Lata Rek

KEADAAN titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan, runtuh secara tiba-tiba semalam.-IHSAN PENDUDUK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan segera bagi menggantikan jambatan runtuh titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu perlu dilaksanakan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.

“Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam.

“Ini termasuk menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.

“Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerja-kerja penggantian jambatan ini akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Tindakan ini turut melibatkan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.

Dalam insiden runtuhan itu, lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan berdepan detik cemas apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini runtuh secara tiba-tiba menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.

Kejadian pukul 2 petang itu dipercayai berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri kenduri di atas titi gantung tersebut yang menyebabkan ia runtuh selepas tidak mampu menampung beban.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd. Zaki Saari berkata, situasi itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki selepas terjatuh di atas batu selain seorang kanak-kanak cedera di bahagian kepala manakala tiga lagi individu luka ringan serta sesak nafas. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN