ALOR SETAR: PKR Kedah memulakan gerak kerja mengukuhkan jentera pilihan raya bagi memenangi semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang pernah diwakili parti itu pada pilihan raya sebelum ini.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah itu termasuk pemantapan agenda kebajikan rakyat dan pendekatan politik matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam.
Katanya, perkara itu dicapai dalam mesyuarat pertama MPN Kedah tahun ini yang diadakan semalam bagi meneliti serta memperkukuh hala tuju organisasi parti di peringkat negeri, seiring keperluan memperkasa jentera dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa serta mendatang.
“Mesyuarat antara lain membincangkan penstrukturan semula organisasi melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu yang progresif bagi memperkukuh kekuatan parti serta meluaskan sokongan akar umbi di seluruh negeri.
“Tumpuan turut diberikan kepada perancangan gerak kerja strategik bagi memenangkan kembali kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat berkenaan diketuai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi MPN Kedah dan dihadiri pimpinan utama parti itu di negeri berkenaan.
Menurut Tunku Nashrul, mesyuarat turut menekankan keperluan untuk menonjolkan secara berkesan kejayaan serta inisiatif Kerajaan Madani yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kedah.
“Ia merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial agar peranan serta sumbangan Kerajaan Persekutuan dapat difahami dengan lebih jelas.
“Dalam masa sama, PKR Kedah menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di DUN melalui pelaksanaan fungsi semak dan imbang yang konstruktif, berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat demi memastikan tadbir urus negeri yang telus dan berintegriti,” katanya.
Katanya, parti turut bertekad untuk bergerak dengan pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan bagi memastikan PKR kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras dengan aspirasi reformasi dan tuntutan semasa masyarakat.
Untuk rekod, PKR kini menyandang satu kerusi Parlimen di Sungai Petani diwakili Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang juga Timbalan Pengerusi PKR Kedah dan dua kerusi DUN iaitu Bau Wong Bau Ek (Sidam) dan Loh Wei Chai (Bakar Arang). – UTUSAN









