GERIK: Seorang pemandu lori didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 299 ekor kambing dan 23 ekor biri-biri tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, tahun lalu.
Muhammad Aizal Afizi Ishak, 29, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Aizal selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah memindahkan 139 ekor kambing dan 23 ekor biri-biri menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kilometer 44, Jalan Gerik-Lenggong, Lenggong pada pukul 2.15 pagi, 26 Mac 2025.
OKS sama turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan 160 ekor kambing di Jalan Gerik-Lenggong berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 12.05 tengah malam, 11 April 2025.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452).
Muhammad Firdaus kemudian menetapkan hukuman denda RM7,500 bagi pertuduhan pertama dan sekiranya gagal bayar, OKS diperintahkan menjalani hukuman penjara selama lima bulan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Aizal didenda RM8,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan haiwan ternakan sebanyak RM41,873.20 dan RM68,413.50 bago setiap pertuduhan dilucuthak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin manakala OKS diwakili peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz. – UTUSAN










