KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, draf Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan kini berada pada peringkat akhir penelitian dengan butirannya sedang diteliti secara menyeluruh oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, RUU itu dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen ke-15 selepas semua sesi libat urus bersama pihak berkepentingan diselesaikan dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
“Draf pindaan ini berada di peringkat akhir penelitian sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya dalam jawapan bertulis bertarikh 27 Januari.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berhubung tempoh pelaksanaan reformasi undang-undang melibatkan akta berkenaan.-UTUSAN










