IPOH: Tiada strategi khas sebaliknya Perak akan mengamalkan permainan biasa apabila turun mempertahan kelebihan 2-0 ke atas KL City FC dalam perlawanan timbal balik Piala Malaysia di Stadium Cheras, Kuala Lumpur esok.
Ketua Jurulatih Perak, Mohd Syamsol Saad berkata, ini kerana keupayaan pemain dan pilihan pemain adalah terhad.
“Kita akan menggunakan pendekatan yang sama. Kami akan mengekalkan rentak yang sama seperti ketika pertemuan pertama di Manjung,” katanya di sini hari ini.
Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad lalu, Perak mengejutkan KL City 2-0 menerusi jaringan Ahmad Daniel Hakimi pada minit ke-11 dan gol Muhammad Fadhil Muhammad Azmi minit ke-53.
Syamsol berkata, KL City adalah sebuah pasukan yang jauh lebih baik daripada Perak.
“Kita sedar mereka turunkan ramai reserve ketika pertemuan di Manjung. Namun kali ini mereka bermain di hadapan penyokong sendiri, sudah tentu akan lebih menaikkan semangat mereka,” katanya.
Menurutnya, cuma kelebihan Perak ialah mereka akan beraksi tanpa tekanan.
Katanya, Perak akan tetap bermain dan berjuang seperti biasa dan yakin pemain akan usahakan yang terbaik.
“Saya sedar pemain mempunyai tugas menggunung malam esok. KL City semestinya akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk cuba padam kelebihan dua gol kami itu,” katanya.
Beliau mengakui kagum dengan semangat pemain kerana dalam keadaan kurang cergas, mereka tetapi masih berkobar-kobar untuk turun.
“Kita mungkin akan menunggu hingga petang hari perlawanan sebelum putuskan sama ada pemain tersebut akan turun atau tidak,” katanya. – UTUSAN










