Piala Malaysia: Penang FC mula langkah kanan

Piala Malaysia: Penang FC mula langkah kanan

PEMAIN Kuching City FC, Yuki Tanigawa (dua dari kiri) diasak oleh dua pemain Penang FC (kiri dan dua dari kanan) pada aksi pertama pusingan kedua Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang tadi.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC memulakan kempen Piala Malaysia musim ini dengan langkah kanan apabila berjaya membenam cabaran Kuching City FC 1-0 dalam aksi pertama pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang tadi.

Bermula baik, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan tuan rumah bagaimanapun dilihat lebih banyak menguasai permainan pada babak pertama.

Penang FC beroleh beberapa peluang awal khususnya menerusi penyerang, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun, kekebalan benteng pertahanan Kuching City FC yang diterajui kapten, James Onyekachukwu Okwousa dan Yuki Tanigawa menyukarkan gawang pelawat daripada dibolosi.

Gol yang dicari tuan tumah akhirnya menjelma pada minit ke-40 apabila pemain import baharu Penang FC dari Brazil, Douglas Coutinho menanduk cantik bola sepakan percuma yang diambil oleh seorang lagi pemain import tuan rumah iaitu Erick Brendon.

Masuk babak kedua, Penang FC dilihat mula mengendurkan asakan dan ini memberi peluang kepada Kuching City FC untuk menggandakan asakan dalam usaha untuk memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, sentuhan penyudah yang tumpul merencatkan hasrat mereka untuk merobek gawang tuan rumah.

Kemasukan dua ayam tambatan iaitu Dylan Wenzel-Halls dan Tcheche Kipre bagaimanapun dilihat merancakkan kembali serangan Penang FC bermula pada minit ke-70.

Dylan hampir menggandakan gol buat tuan rumah pada masa kecederaan separuh masa kedua apabila merembat kencang ke arah gol Kuching City FC selepas melakukan larian solo, namun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, Mohamad Faizudin Ismail kerana ofsaid.

Keputusan 1-0 seterusnya kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan Penang FC hanya membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balik kedua yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 24 Januari ini.

Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang daripada empat perlawanan untuk tahun ini termasuk tiga kemenangan dalam aksi Liga Super sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN