KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan dua sindiket pengedaran ketum dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM72,450 menerusi operasi berasingan di Machang dan Tumpat, dekat sini, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu dicapai hasil risikan dan rondaan berterusan menerusi pelaksanaan Op Taring Mitra dan Op Taring Wawasan Kelantan bagi membanteras aktiviti jenayah dan penyeludupan.
Katanya, dalam serbuan pertama pada pukul 12.45 tengah hari, sepasukan risikan Batalion 8 PGA bersama anggota Batalion 7 PGA menyerbu sebuah rumah di Kampung Hutan Kuin Hilir, Jalan Tanah Merah, Machang.
“Hasil serbuan menemukan 1,150 kilogram daun ketum yang disorokkan di bahagian belakang rumah berkenaan. Seorang wanita tempatan berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Rampasan turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM61,000,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, katanya, dalam serbuan kedua, pasukan Strike Force Kompeni ‘B’ Batalion 7 PGA menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan semasa rondaan di Jalan Bunohan, Tumpat pada pukul 3.30 petang.
Katanya, pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan menemukan 10 botol air ketum berjumlah 15 liter yang disimpan dalam sebuah beg.
“Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan rampasan turut membabitkan sebuah kereta Proton Iswara serta sebuah telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan RM11,450. Air ketum yang dirampas dipercayai untuk dijual di sekitar daerah Tumpat dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Tumpat,” katanya. – UTUSAN










