Perzim jejak misteri ‘kolam diraja’ Sultan Melaka - Utusan Malaysia

Perzim jejak misteri ‘kolam diraja’ Sultan Melaka

NURMAN Mohd. Baroldin ketika mengetuai kerja-kerja eksplorasi menjejaki lokasi dipercayai menjadi tempat pemandian Sultan Melaka di Kem Terendak, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjalankan usaha menjejaki satu misteri berusia ratusan tahun di Kem Terendak, lokasi yang dipercayai menjadi pemandian Sultan Melaka, seperti direkodkan penulis Portugis abad ke-16, Manuel Godinho de Eredia.

Program berjudul Eksplorasi Menjejaki Monumen Kesultanan Melayu Melaka ini bermula pada 12 Januari lalu dan memberi tumpuan kepada pencarian kawasan yang dipercayai menempatkan kolam diraja di Tanjung Panchor, Kem Terendak, berdasarkan catatan sejarah D’Eredia dalam bukunya Description of Malacca.

Pengurus Besar Perzim, Erne Hamsah berkata, eksplorasi dijalankan untuk mengenal pasti kawasan yang berpotensi menepati ciri fizikal yang digambarkan dalam catatan berkenaan.

“Eksplorasi memberi fokus khusus kepada lokasi yang dikatakan menjadi tempat pemandian Sultan Melaka. Kawasan yang dikenal pasti akan diteliti secara terperinci melalui kaedah penyelidikan dan dokumentasi sistematik,” katanya.

Pasukan eksplorasi seramai 50 orang diketuai Kurator Bahagian Pemuziuman Perzim, Nurman Mohd. Baroldin.

Usaha itu turut disokong kepakaran akademik Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Dr. Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Mela­yu dan Islam (MAPTIM).

Selain itu, projek ini mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Garison Terendak, Muzium Tentera Darat, Unit Forensik dan Unit Sejarah ATM.

Penyelidik dari UKM dan MAPTIM turut membantu bagi memastikan pendekatan berasaskan fakta dan bukti fizikal.

Erne berkata, sebarang penemuan tidak akan terus dikaitkan dengan warisan Kesultanan Melayu Melaka tanpa pengesahan ketat.

“Kami tidak mahu membuat kesimpulan awal tanpa bukti kukuh, tetapi berharap usaha ini menemukan petunjuk penting yang mengukuhkan naratif sejarah Kesultanan Melayu Mela­ka.

“Eksplorasi ini juga langkah proaktif Perzim menyingkap kembali landskap sejarah Melaka dengan menggabungkan sumber bertulis Barat dan penyelidikan lapangan tempatan,” katanya.

Usaha ini diharap dapat memperkayakan dokumentasi sejarah Melaka dan memastikan warisan negeri terus dipelihara berasaskan fakta serta bukti fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN