KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan pertumbuhan perdagangan yang sederhana antara tiga hingga lima peratus tahun ini, berbanding 6.3 peratus yang dicapai pada 2025.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya optimis dengan sasaran tersebut dan ia selari dengan keadaan ekonomi semasa yang dijangka masih penuh dengan cabaran, sama ada gangguan geopolitik atau teknologi.
Katanya, sentiasa wujud risiko peristiwa luar jangka seperti kelembapan ekonomi negara utama atau krisis ekonomi dalam kalangan rakan dagang, yang berada di luar kawalan negara.
“Seperti tahun lalu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan pertumbuhan tiga hingga lima peratus, namun prestasi sebenar mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus, satu kejayaan yang amat memberangsangkan.
“Saya berharap kita boleh memecahkan rekod yang dicatat tahun lalu, namun saya juga akan sangat gembira sekiranya kita mampu mengekalkan momentum ketika ini,” katanya pada Majlis Pasca-Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 di Menara MITI, di sini semalam.
Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan melebihi RM3 trilion buat kali pertama dalam sejarah untuk merekodkan RM3.06 trilion pada 2025, naik sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun.
Ia dipacu pertumbuhan eksport sebanyak 6.5 peratus kepada RM1.61 trilion, manakala import pula naik 6.2 peratus kepada RM1.45 trilion.
Ketika ditanya sama ada pengukuhan ringgit ketika ini akan memberi kesan kepada eksport negara, beliau menolak pandangan tersebut kerana sebahagian besar perdagangan Malaysia sebenarnya berasaskan nilai tambah.
“Sebagai contoh, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan eksport terbesar negara iaitu Malaysia mengimport barangan separa siap sebelum menjalankan proses nilai tambah seperti pembungkusan dan pemasangan, sebelum dieksport semula.
“Dalam konteks ini, pengukuhan ringgit tidak memberi kesan besar kerana kos import menjadi lebih murah, manakala nilai tambah yang dilakukan di dalam negara tetap memberi pulangan,” ujarnya.
Menurut beliau, cabaran mungkin wujud bagi pengeluar barangan buatan tempatan, namun perkara itu boleh ditangani sekiranya mereka dibantu untuk meningkatkan nilai produk dan menembusi pasaran bernilai tinggi.
“Malaysia tidak seharusnya lagi bergantung kepada status sebagai pengeluar kos rendah, sebaliknya perlu bergerak naik dalam rantaian nilai bagi menjana pendapatan yang lebih berkualiti dan mampan.
“Paras ringgit ketika ini masih terkawal dan boleh diurus, memandangkan negara pernah melalui tempoh kadar pertukaran yang lebih kukuh pada masa lalu. Selain itu, salah satu faktor utama pengukuhan ringgit ialah lebihan dagangan, di mana Malaysia mengeksport lebih banyak berbanding import,” jelasnya. – UTUSAN










