IPOH: Selepas tertangguh hampir dua tahun, projek pembinaan pusat belia dikenali sebagai Perak Youth Center (PYC) di Tambun kini disambung semula dengan peruntukan berjumlah RM15 juta.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, ketika ini projek berkenaan masih berada dalam tempoh pra pelaksanaan sebelum proses tender dibuka pada tahun ini.
Katanya, proses pembinaan pusat belia itu akan bermula selepas tender dimuktamadkan dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
“Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembinaan tapak tersebut dengan keluasan 2.7 hektar.
“Kita telah buat semakan semula harga yang diluluskan sebelum ini dan didapati, jumlah RM15 juta ini adalah mencukupi memenuhi spesifikasi diperlukan merangkumi pembinaan gelanggang sintetik, pejabat, astaka dan dewan serbaguna,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak PYC di Tambun, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas punca kelewatan pembinaan pusat belia berkenaan yang sepatutnya siap tahun lalu, beliau berkata, kelewatan tersebut berpunca daripada beberapa isu teknikal termasuk berkaitan tanah, penyerahan hak milik serta proses perolehan
Bagaimanapun katanya, semua isu berkenaan telah pun diselesaikan dan projek itu dijangka berjalan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Kita sangat positif bahawa projek ini akan berjalan lancar dan sesuai dengan tempoh masa yang telah ditetapkan. Bagi saya sendiri dan KBS, kami akan memantau projek ini agar dapat dilaksanakan segera dan mengikut jadual,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan PYC akan menjadi lokasi tumpuan penduduk khususnya golongan belia beriadah dan melaksanakan aktiviti yang positif.
“Sudah pasti pusat belia ini akan menjadi lokasi utama untuk penduduk beriadah selain menjadi lokasi anak-anak muda dan golongan belia melakukan aktiviti rekreasi, berkumpul dan membuat aktiviti-aktiviti yang positif.
“Saya rasa tapak ini amat sesuai untuk dinaik taraf dan dibangunkan PYC yang mampu menjadi tumpuan utama, sekali gus melahirkan generasi belia yang lebih sihat, positif serta mengamalkan gaya hidup lebih teratur,” katanya.
Pada Oktober 2022, media melaporkan, masyarakat di kawasan Parlimen Tambun bakal menikmati kemudahan sukan baharu apabila sebuah pusat belia bertaraf antarabangsa berkeluasan 2.7 hektar dibangunkan melibatkan kos sebanyak RM45 juta.
Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat berkenaan dijangka siap pada 2025 dan merupakan pusat belia kedua di negara ini selepas yang pertama di Kepala Batas, Pulau Pinang. – UTUSAN










