IPOH: Perak berjaya menyelesaikan lebih 92 peratus daripada 19,000 aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sepanjang tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aduan melibatkan semua peringkat pentadbiran negeri itu berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, penyelesaian aduan tersebut menunjukkan bahawa sistem kerajaan negeri berfungsi dengan baik, selain memastikan setiap aduan yang diterima ditangani dan diselesaikan dengan berkesan.
“Perlu kita fahami hakikat bahawa sejauh mana pun perancangan kita, setinggi mana pun sasaran hasil yang kita tetapkan, semuanya tidak bermakna jika masalah harian rakyat yang paling asas gagal kita selesaikan dengan baik.
“Kita mesti ada mentaliti yang jelas bahawa aduan rakyat bukan gangguan kepada pentadbiran sebaliknya cerminan kepada keberkesanan pentadbiran.
“Di situlah rakyat menilai sama ada kerajaan ini benar-benar berfungsi untuk mereka atau sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Besar Perak di Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Saarani dalam ucapannya turut menyentuh aduan atau isu berulang yang menjadi isyarat jelas bahawa ia memerlukan penambahbaikkan supaya dapat dinoktahkan.
Sebagai contoh katanya, aduan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila isu yang paling kerap diterima dan bersifat berulang ialah pembersihan awam, haiwan dan serangga, jalan, pokok dan isu kejiranan.
“Apabila aduan yang sama muncul berulang kali, apatah lagi di tempat yang sama, maka itu isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang perlu kita baiki.
“Saya bukan hanya bercakap mengenai sistem aduan di PBT semata-mata, tetapi di semua peringkat pentadbiran termasuk pegawai-pegawai khas MB di semua daerah.
“Saya tekankan hal ini kerana pendekatan kita terhadap aduan rakyat mesti berubah daripada sekadar menerima dan memproses, kepada menyelesaikan berdasarkan data dan punca sebenar,” katanya. – UTUSAN










