SUNGAI PETANI: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Kedah sudah menyuarakan pandangan kepada kerajaan agar mengutamakan penyediaan gelanggang silat baharu serta kemudahan latihan di seluruh negara.
Penaung Pesaka Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, langkah itu bukan sahaja bertujuan menyuburkan warisan seni silat dalam kalangan generasi muda, malah menjadi platform persediaan bagi menghadapi temasya sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Penyediaan prasarana merupakan satu keutamaan dan Alhamdulillah, Perdana Menteri menunjukkan sikap positif serta memberi perhatian kepada pembangunan gelanggang dan akademi silat.
“Ia bagi membentuk generasi muda yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya pada Himpunan Gema Pendekar Madani Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid, kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program itu berkata, pembangunan pesat negara tidak seharusnya meminggirkan ilmu seni bela diri terutama silat yang perlu terus diperkasa dan tidak dilupakan oleh orang Melayu.
Kata beliau, walaupun negara mencatatkan kemajuan dalam pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pembinaan pusat data, seni silat harus terus berakar sebagai budaya.
Menurut Perdana Menteri, setiap sekolah, kampung dan pinggir kota perlu diwujudkan kumpulan silat supaya dapat membakar semangat dan daya juang orang-orang Melayu.
Sementara itu, Zuraidi berkata, pihaknya mengambil pendekatan berhemah dan sistematik dalam membina sebuah akademi silat yang dirancang di Gurun bagi memperkasa warisan seni bela diri itu di negeri ini.
Ujar beliau, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa melaksanakannya dan akan menjalankan kajian terperinci termasuk berbincang dengan pihak berkepentingan bagi memastikan akademi itu benar-benar mampu membangunkan bakat baharu dalam dunia persilatan.
“Kita tidak mahu akademi ini ditubuhkan sekadar melepaskan batuk di tangga. Oleh itu, satu mekanisme terbaik sedang dirangka supaya akademi yang diwujudkan nanti lengkap dengan prasarana seperti asrama, kemudahan tempat makan, tempat latihan dan keperluan lain.
“Ini penting bagi melahirkan atlet silat yang berdaya saing dan berdisiplin. Alhamdulillah, melalui Pesaka dan perguruan silat di Kedah, pelbagai program serta latihan terus dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu bermula dari kanak-kanak hingga remaja dan dewasa,” katanya.
Beliau berkata, bakat-bakat baharu itu berpotensi untuk diserapkan ke dalam akademi silat yang akan ditubuhkan pada masa yang sesuai. – UTUSAN










