Penuntut universiti wajib belajar Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia 

Penuntut universiti wajib belajar Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia 

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.-UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelajar tempatan di universiti awam dan swasta akan diwajibkan belajar Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia yang akan diperkenal menerusi mata pelajaran umum mulai tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mata pelajaran itu akan diajar dalam bahasa Melayu dan dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran umum yang sudah dirombak semula.

“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tak wajib bahasa Melayu dan sejarah, tapi mulai tahun ini kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang dirombak semula dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh UA dan swasta bagi pelajar Malaysia.

“Iaitu Perlembagaan (Persekutuan), sejarah Malaysia dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.

Anwar berkata, tidak wajar bagi seorang anak Malaysia tidak mengerti mengenai sejarah negara.

“Kalau mahu selamatkan negara ini, biarkan semua anak kita menguasai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan dan sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan universiti untuk membangunkan kawasan serta memberikan keutamaan kemudahan penginapan kepada mahasiswa mulai tahun ini.

Bagi tujuan itu, sebagai permulaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarah bekerjasama dengan universiti dikenal pasti untuk menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa.

“Mahasiswa terus mengeluh kerana tempat penginapan sukar dicari, kalau ada di sekitar dan pinggir kota terlalu mahal, maka kita memberikan arahan kepada semua GLIC bekerjasama dengan universiti membangunkan kawasan dan kemudahan penginapan kepada mahasiswa kita.

“Pada tahun ini kita mulakan dengan universiti tertentu dengan sasaran menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengarahkan universiti menambah 1,500 tempat bagi kursus pilihan utama, sekali gus menjadikan keseluruhan 3,000 tempat tambahan ditawarkan pada tahun ini.

Ia bagi menangani kebimbangan yang timbul setiap tahun berhubung peluang kemasukan ke universiti susulan kekangan tempat bagi kursus pilihan, termasuk rungutan dalam kalangan pelajar kaum minoriti yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi berdepan kesukaran mendapatkan tawaran.

Katanya, penambahan itu membabitkan kursus undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI), ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, sains data, analitik data dan sains komputer.

Anwar berkata, bagi mengurangkan kebimbangan pelajar, keutamaan kemasukan terus diberikan kepada lepasan matrikulasi dan asasi, kerajaan turut memberi jaminan bahawa pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak akan dipinggirkan.

“Bagi pelajar yang memperoleh PNGK 4.0, sedaya upaya universiti akan memberikan tempat, walaupun pilihan kursus tertakluk kepada keupayaan universiti,” katanya.

Selain itu, jelas Anwar, KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem pra-universiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun depan sekali gus pelajar yang akan mengikuti sistem pendidikan berkenaan akan mula memasuki kategori pendidikan tinggi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN