KUALA LUMPUR: Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) terus komited martabatkan warisan muzik berteraskan budaya termasuk menganjurkan Pertandingan Nyanyian Borneo 2025, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi PPASM, Jawed Khan, ia bukan sekadar pertandingan nyanyian sebaliknya sebuah gerakan penting bagi memperkasa bakat muda serta memelihara legasi kebudayaan.
“Platform ini dicipta untuk memberi pengiktirafan buat bakat-bakat penyanyi dari Borneo. Bukan hanya tampil sekadar tujuan hiburan, ia juga sebagai memartabatkan identiti budaya warisan.
“Sambutannya sangat memberangsangkan serta penyertaan penyanyi-penyanyi berkualiti pada pertandingan itu menjadi bukti bahawa budaya tempatan bertuntas daripada akar yang kukuh terhadap jati diri,” katanya.
Selain objektif memperkenal lagu-lagu Borneo, menurut Jawed, pertandingan terbabit bertujuan memperkasa jati diri bakat-bakat dari Sabah dan Sarawak meskipun berada jauh di perantauan.
“Selain memelihara warisan muzik dari Borneo, ia menyediakan platform untuk peserta menyerlahkan kemampuan artistik, kreativiti, dan menghargai seni budaya tempatan,” katanya.

Berlangsung meriah di Dataran Merpati, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18 Disember lalu, seramai 18 peserta berentap pada peringkat akhir.
Pentas itu menjadi medan penting pengenalan lagu-lagu bahasa etnik Borneo termasuk Dusun, Kadazan, Iban, Bidayuh, dan banyak lagi kepada penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Peserta dari Sabah, Siti Rafidah Daud berjaya mengagumkan juri dengan kehebatan vokalnya menerusi lagu bahasa Dusun berjudul Aada. Dia membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil, dan trofi.
Tempat kedua milik Harvard Sandar menerusi lagu Id Pagandadan dan ketiga milik Vannesa Anne Brown (Ati Nuan Ati Aku) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan RM300, sijil, serta trofi.
Pertandingan berkenaan turut mendapat sokongan padu Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia (MOTAC).










