PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan kesemua penambahan 300 kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah terlibat berfungsi dengan baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana berdasarkan audit yang dijalankan sebelum ini, hanya 28.94 peratus sekolah yang melaporkan sistem CCTV mereka berfungsi dengan baik.
“Apabila kita sebut tentang keselamatan sekolah ialah soal keyakinan ibu bapa dan masyarakat daripada kita. Jadi kalau ada 28 peratus sahaja sekolah yang berfungsi CCTV, ataupun tidak berfungsi, itu adalah tanggungjawab kita untuk selesaikan.
“Jadi kita ada penambahan 300 CCTV di seluruh negara di sekolah-sekolah tertentu. Ia mesti dibawa bersama dengan tanggungjawab untuk memastikan ia benar-benar berfungsi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahlina mahu semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbir sekolah-sekolah perlu memastikan semua CCTV itu dalam keadaan berfungsi.
Katanya, pihak KPM mempunyai kerja-kerja penyelenggaraan untuk membaik pulih sistem itu sekiranya berlaku masalah.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) syarikat swasta dan persatuan-persatuan komuniti untuk membantu sekolah membaiki atau menarik taraf kemudahan CCTV sedia ada.
Sementara itu, Fadhlina juga meminta ibu bapa tidak bimbang dengan arahan terbaharu KPM untuk mewajibkan semua pelajar yang berpindah sekolah melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan 2026.
Beliau berkata, KPM sudah melakukan reformasi segera bagi memberi sokongan kepada semua murid termasuk yang mempunyai masalah disiplin, kesihatan mental dan apa juga jenis masalah yang dihadapi.
Ia bagi membolehkan mereka boleh memulakan sesi persekolahan dan menerima hak mereka terhadap pendidikan dengan sokongan yang diperlukan sama ada untuk murid yang dilindungi, yang bermasalah atau murid lain.
“Jadi stigma ataupun jaminan keselamatan itu, setakat ini kalau ada kebimbangan kita minta untuk ibu bapa tampil dan juga berikan saranan kepada kita. Ia supaya kita dapat lakukan intervensi serta merta kalau yang ada yang berasa tak selesa dan sebagainya.
“Kita harap ia boleh dibincangkan di peringkat sekolah bagaimana kita boleh laksanakan dari segi program sokongan itu. – UTUSAN










