SHAH ALAM: Pengarah filem, Muzammer Rahman mengehadkan penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI) dan Kesan Visual (VFX) dalam filem seram terbaharunya, Kacau, bagi menampilkan pengalaman seram yang lebih organik dan realistik.
Filem yang diadaptasi daripada novel terbitan Buku Fixi itu memilih pendekatan kesan khas praktikal sebagai teras visual, sekali gus menyimpang daripada trend filem moden yang terlalu bergantung kepada teknologi digital.
Menurut Muzammer, penggunaan VFX dalam Kacau hanya sekitar lima hingga 10 peratus, manakala selebihnya menampilkan kesan praktikal yang dihasilkan secara langsung di set penggambaran.
“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, penggunaan VFX memerlukan tempoh pascaproduksi yang panjang, ada kalanya sehingga empat atau lima bulan, namun hasilnya masih tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Untuk Kacau, kami memilih kesan praktikal. Walaupun mencabar dan memakan masa kadangkala satu jam hanya untuk satu syot kepuasan yang diperoleh jauh lebih tinggi kerana hasilnya kelihatan lebih nyata di skrin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di set penggambaran filem itu, semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kacau tidak melibatkan sebarang penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menghasilkan visual akhir. Jelasnya, teknologi AI yang masih baharu dalam industri perfileman tempatan mudah dikesan dan berisiko menjejaskan kualiti penceritaan jika tidak dikendalikan dengan teliti.
“Kami sudah maklumkan kepada kru bahawa tiada penggunaan AI untuk output akhir. Jika digunakan, kesan tiruannya boleh dilihat dengan jelas oleh penonton. Saya mahu mengekalkan keaslian karya ini,” katanya.
Filem Kacau yang diangkat daripada karya penulis Ariff Adly hanya mengekalkan kira-kira 40 peratus struktur asal novel bagi disesuaikan dengan keperluan medium visual.
Muzammer yang sebelum ini mengarahkan Prebet Sapu menyifatkan proses adaptasi tersebut sebagai satu cabaran besar dalam menterjemahkan teks kepada naratif visual yang lebih unik dan berkesan.
Bagi mengukuhkan elemen seram, Kacau turut mempertaruhkan barisan pelakon muda generasi Z, kesemuanya berusia bawah 30 tahun, sekali gus memberi nafas segar kepada penceritaan yang berkisarkan permainan mistik spirit of the coin.
Kacau dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini. – UTUSAN










