Penganjur Pentas RadjaWali pertimbang saman Idea Live Arena dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Penganjur Pentas RadjaWali pertimbang saman Idea Live Arena dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjur konsert Pentas RadjaWali, Impian Al Fateh Sdn. Bhd, GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang susulan insiden penutupan sistem bunyi secara mengejut ketika konsert berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, minggu lalu.

Insiden yang berlaku ketika kumpulan popular Indonesia, Wali Band sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat yang kemudiannya melemparkan kecaman terhadap pihak penganjur tanpa mengetahui punca sebenar kejadian.

Keadaan itu menjadi semakin hangat diperkatakan apabila pelbagai pihak termasuk individu luar menyalahkan penganjur sehingga menjejaskan reputasi mereka serta barisan artis yang terlibat.

Menurut penganjur, kejadian tersebut dipandang serius kerana bukan sahaja mencetuskan kekeliruan awam, malah memberi kesan negatif terhadap nama baik syarikat serta industri hiburan secara keseluruhan.

Susulan itu, pihak penganjur telah mengadakan perbincangan bersama panel peguam dan kini sedang meneliti langkah perundangan terhadap pengurusan acara atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran persetujuan yang telah dimeterai.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, selain faktor menghormati azan dan waktu solat Isyak seperti yang dijelaskan sebelum ini, pihaknya turut berdepan beberapa masalah teknikal lain yang berada di luar kawalan penganjur.

“Kami ingin menjelaskan isu kelewatan acara. Memang berlaku sedikit kelewatan, namun ia berpunca daripada masalah teknikal dan bukan kelemahan pihak penganjur semata-mata.

“Antara punca utama kesesakan di pintu masuk ialah gangguan sistem daripada penyedia tiket yang menyebabkan proses pengesahan tiket menjadi perlahan.

“Selain itu, capaian internet yang sangat lemah di lokasi dewan menyukarkan penonton memaparkan kod QR serta menyukarkan petugas melakukan imbasan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, pada Isnin.

Mubarak berkata, situasi tersebut menyebabkan kesesakan luar biasa di pintu masuk sekali gus menjejaskan permulaan persembahan yang sepatutnya bermula mengikut jadual.

“Kelambatan memulakan persembahan berpunca daripada pasukan tiket  yang dilantik oleh Idea Live, dan bukannya disebabkan artis,” jelasnya.

Mengulas penutupan bekalan elektrik tepat jam 12 tengah malam, Mubarak berkata, siasatan awal serta nasihat guaman mendapati tindakan tersebut dibuat secara unilateral tanpa sebarang perbincangan atau persetujuan awal daripada pihak penganjur.

“Kami telah berunding dengan pihak Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi bagi membolehkan Wali Band menyampaikan lagu terakhir.

“Kami memohon kelonggaran sehingga jam 12.30 tengah malam dan sanggup menanggung sebarang risiko termasuk kehilangan deposit atau dikenakan denda demi memastikan peminat berpuas hati,” katanya.

Menurutnya, penganjur juga telah mendapat persetujuan lisan daripada wakil venue untuk membenarkan satu lagu terakhir sebagai penutup, malah beliau sendiri naik ke pentas untuk memaklumkan perkara tersebut kepada vokalis Wali Band.

“Namun sebaik sahaja lagu yang sedang dinyanyikan tamat, pihak venue bertindak mematikan sistem bunyi tanpa memberi ruang kepada artis untuk membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton,” katanya.

Tambah Mubarak, tiada sebarang klausa dalam perjanjian yang membenarkan pihak pengurusan venue mematikan sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan masih berlangsung.

“Mengikut Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan dalam dewan dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi. Justeru, tindakan mematikan sistem bunyi pada jam 12 tengah malam adalah tidak berasas dan bercanggah dengan kebenaran operasi.

“Tindakan sedemikian juga berisiko mencetuskan kekecohan serta menjejaskan keselamatan penonton,” ujarnya.

Pihak penganjur kini dalam proses memuktamadkan jumlah kerugian yang dialami termasuk kerosakan reputasi dan kerugian material untuk dibawa ke mahkamah. Surat tuntutan dijangka akan dihantar dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada peminat, penganjur mengumumkan akan membawa semula Wali Band dan Radja ke Malaysia bagi satu konsert khas.

“Konsert tersebut dirancang berlangsung pada 1 Mei ini. Penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa dengan mengemukakan bukti pembelian tiket konsert terdahulu.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan dan berjanji akan menuntut keadilan demi memelihara hak serta maruah para peminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN