KUALA LUMPUR: Penganjur konsert Pentas Radjawali menafikan dakwaan kononnya mereka gagal melunaskan bayaran kepada artis dan pihak pengurusan acara sehingga menyebabkan sistem bunyi dimatikan ketika konsert masih berlangsung.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd. Aris, menegaskan pihaknya sentiasa mengamalkan sikap profesional serta mematuhi setiap terma kontrak yang telah dipersetujui, termasuk urusan pembayaran kepada pihak pengurusan acara, Ideal Live Arena.
Menurutnya, semua pembayaran telah dilaksanakan secara berperingkat mengikut garis masa yang dipersetujui sejak Oktober tahun lalu.
“Kami bergerak secara profesional. Bagi pihak venue, Ideal Live Arena, bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus telah dijelaskan sebaik sahaja persetujuan kerjasama dicapai pada Oktober lalu.
“Baki 50 peratus pula telah diselesaikan kira-kira seminggu sebelum konsert berlangsung. Justeru, isu kononnya kami gagal membuat bayaran kepada pihak pengurusan acara atau venue adalah tidak berasas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang tular di media sosial mendakwa sistem bunyi konsert tersebut sengaja ditutup akibat tunggakan bayaran.
Mengulas lanjut, Mubarak turut menafikan dakwaan kononnya bayaran kepada artis tidak dijelaskan. Menurutnya, dalam industri hiburan masa kini, khususnya melibatkan artis antarabangsa, bayaran penuh perlu diselesaikan lebih awal sebelum sebarang persembahan dijalankan.
“Kita bukan lagi berada pada era 70-an atau 80-an. Sekarang sudah tahun 2026 dan amalan industri menetapkan bayaran artis perlu diselesaikan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh konsert.
“Jika bayaran tidak dijelaskan, mustahil artis antarabangsa akan hadir dan membuat persembahan di Malaysia. Dalam kes ini, semua urusan pembayaran telah diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mubarak turut mengulas mengenai video penjelasan yang dimuat naik oleh vokalis kumpulan Radja, Ian Kasela, berhubung isu berkenaan. Katanya, video tersebut dibuat atas inisiatif artis terbabit sendiri bagi menangkis khabar angin yang tidak berasas.
“Video itu bukan dibuat atas paksaan mana-mana pihak. Ian sendiri mendengar dakwaan kononnya kumpulan Radja lewat menerima bayaran, lalu tampil memberikan penjelasan bagi memperbetulkan keadaan.
“Saya berharap dengan penjelasan ini, tiada lagi spekulasi liar kerana semua urusan kewangan telah diselesaikan mengikut prosedur profesional,” katanya. -UTUSAN










