Penganggur didakwa cederakan peserta himpunan GSF

Penganggur didakwa cederakan peserta himpunan Global Sumud Flotilla

ISA Hazmi Zulkifli didakwa mencederakan seorang peserta Himpunan Global Sumud Flotilla tiba ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.– UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencederakan seorang peserta Himpunan Global Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Oktober lalu.

Tertuduh, Isa Hazmi Zulkifli, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Isa Hazmi, 32, didakwa mencederakan Mohd. Hafizi Nor Azrin yang juga peserta Himpunan Global Sumud Flotilla pada pukul 1.30 petang, 2 Oktober lalu di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela, Zaid Malek memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda dan perlu menanggung ibunya yang tidak bekerja.

“Hari ini, tertuduh hadir secara sukarela selepas diminta datang ke mahkamah. Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan tidak berhasrat membazirkan masa mahkamah atau mana-mana pihak terlibat.

“Saya memohon supaya tiada syarat tambahan dikenakan dan jaminan ditetapkan sebanyak RM700, satu amaun yang mencukupi bagi menjamin kehadiran anak guam saya ke mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Faezahnoor menetapkan jaminan sebanyak RM1,300 dengan seorang penjamin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN