Pengamal perubatan boleh berkhidmat hingga sijil dikeluarkan

Pengamal perubatan boleh berkhidmat hingga sijil dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengamal perubatan yang masih belum menerima Perakuan Sijil Amalan Tahunan (PAT) 2026 dibenarkan untuk terus berkhidmat tanpa sebarang tindakan sementara permohonan mereka sedang diproses, susulan jumlah permohonan yang tinggi ketika ini.

Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berkata, kelonggaran itu terpakai kepada mana-mana pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi semua syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025.

Katanya, namun permohonan mereka itu masih dalam proses melalui Sistem Maklumat dan Teknikal Daftar Perubatan (MeRITS).

“Bagaimanapun, kelonggaran tersebut tertakluk kepada syarat pengamal perubatan berkenaan tidak berada di bawah sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971.

“Bagi permohonan yang lengkap dan mematuhi semua syarat ditetapkan serta dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025, tarikh kuat kuasa PAT adalah bermula 1 Januari 2026 atau mengikut tarikh perlindungan indemniti profesional dan tidak bergantung kepada tarikh kelulusan atau tarikh sijil dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MPM memohon maaf atas kelewatan pemprosesan dan pengeluaran PAT 2026 susulan peningkatan mendadak permohonan yang diterima pada penghujung 2025, khususnya permohonan yang dikemukakan dengan dokumen sokongan yang diterima lewat.

“MPM menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengamal perubatan serta memberi jaminan bahawa langkah-langkah tersebut diambil bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.

“Langkah-langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan isu kelewatan pemprosesan dan pengeluaran PAT tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kelewatan MPM meluluskan PAT 2026 boleh menjejaskan sektor perkhidmatan kesihatan negara apabila menyebabkan lebih 14,000 doktor dilaporkan berkhidmat secara tidak sah.

Dianggarkan lebih 70,000 doktor dan mengamal perubatan perlu memperbaharui APC pada tahun ini.

Kelewatan tersebut menimbulkan kebimbangan serius kerana PAT merupakan sijil rasmi yang diperlukan oleh setiap pengamal perubatan berdaftar untuk berkhidmat secara sah di negara ini.

Tanpa PAT yang sah, doktor dan mana-mana pengamal perubatan tidak dibenarkan menawarkan sebarang perkhidmatan perubatan termasuk merawat pesakit, berunding dan memberi preskripsi ubat.

Bagi doktor swasta pula, hospital dan klinik tidak dibenarkan mengambil mana-mana doktor atau pengamal perubatan tanpa PAT  kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perubatan 1971 dan boleh dikenakan undang-undang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN