KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan mengenai isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan.
Baginda bertitah, perkara itu bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya melibatkan amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat.
Titah baginda, pemberian keistimewaan itu tidak boleh dianggap sebagai urusan kecil yang boleh dipandang ringan.
“Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang-undang, ia adalah ikrar kesetian, sumpah setia kepada raja dan tanah air.
“Kewarganegaraan juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan. Ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang.
“Jadi, saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman tetapi benteng kedaulatan negara. Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia,” titah baginda.
Sultan Pahang bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” yang turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara, malah maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai.
Menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, baginda menyeru supaya golongan muda bersuara dan menegur dengan hikmah serta tertib berlandaskan fakta sebenar.
“Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan amarah serta caci. Sesungguhnya, kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional.
“Tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan,” titah baginda.
Wacana berkenaan menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan.
Program itu turut menjadi inisiatif strategik bagi memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi raja berperlembagaan sebagai teras kestabilan serta kedaulatan negara. – UTUSAN










