Pemandu van warga Thai dituduh pandu berbahaya, akibatkan kematian

Pemandu van warga Thai dituduh pandu berbahaya, akibatkan kematian

YUSOF Senkonam (dua kiri) dituduh memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita di Mahkamah Majistret Jitra, Kubang Pasu, hari ini. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang pemandu van warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang gadis berusia 22 tahun, Khamis lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yusof Senkonam, 60, memandangkan dia tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu van jenis Toyota Hiace secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal jenis Modenas, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam, di sini kira-kira pukul 10.30 malam, 15 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda minimum RM20,000 serta maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan mahkamah menetapkan 8 Februari depan bagi mendapatkan jurubahasa dalam bahasa Thai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Hedzir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang gadis yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut dirempuh sebuah van dari Thailand yang dipercayai melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Napoh, di sini.

Nahas meragut nyawa Fatin Nursyafikah yang bekerja sebagai pembantu kedai makan. Dia maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Siasatan awal mendapati van terbabit dipandu lelaki berusia 60 tahun itu dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Satun, Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN