Pelan transformasi KBI pacu pelaburan bilion ringgit, perkukuh ekosistem ekonomi ummah - Utusan Malaysia

Pelan transformasi KBI pacu pelaburan bilion ringgit, perkukuh ekosistem ekonomi ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Transformasi KBI Group dilihat sebagai langkah strategik berskala besar yang berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekosistem ekonomi ummah.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuh struktur dalaman organisasi, malah membuka laluan kepada pelaburan bernilai berbilion ringgit yang mampu menjana pertumbuhan mampan, peluang pekerjaan serta limpahan manfaat sosioekonomi kepada masyarakat Islam secara menyeluruh.

Program khas anjuran Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad yang berlangsung di Bangi Convention Centre itu menandakan peralihan KBI ke arah transformasi baharu yang lebih tersusun, berimpak tinggi dan berorientasikan pelaburan strategik jangka panjang.

Menghimpunkan barisan kepimpinan, ahli koperasi serta rakan strategik, program tersebut memperincikan kerangka baharu pembangunan KBI dengan penekanan terhadap tadbir urus berintegriti, pelaburan patuh Syariah serta pemerkasaan ekonomi komuniti secara inklusif dan berdaya tahan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi KBI Group, Datuk Romli Ishak, dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sekali gus mencerminkan sokongan kepimpinan nasional terhadap usaha memperkukuh agenda ekonomi ummah melalui pendekatan institusi yang kukuh dan progresif.

Dalam satu kenyataan, Pelan Transformasi KBI dirangka bagi memperkemas perancangan strategik koperasi merangkumi sektor hartanah, kewangan serta pengurusan korporat, selari dengan nilai kesejahteraan dan pembinaan institusi berkeupayaan tinggi seperti yang digariskan dalam kerangka Malaysia Madani.

Teras utama pelan tersebut digerakkan menerusi projek pembangunan berskala besar oleh anak syarikatnya, KBI Properties Sdn Bhd, termasuk cadangan pembangunan bercampur di atas tanah seluas 16 ekar milik Yayasan Melaka di MITC Ayer Keroh, dengan nilai pembangunan dianggarkan mencecah RM1.3 bilion.

Selain itu, KBI turut merancang pembangunan hospital swasta Enstek Specialist Hospital di Bandar Enstek dengan kos RM174 juta, Balung Specialist Centre di atas tanah seluas tujuh ekar milik Majlis Ugama Islam Sabah di Tawau bernilai RM186 juta, serta cadangan pembangunan bersepadu di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah.

Usaha tersebut mencerminkan kesungguhan KBI Group untuk mentransformasikan peranan koperasi daripada sekadar entiti ekonomi tradisional kepada pemacu pelaburan strategik yang berkeupayaan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi ummah dan negara, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi Islam dalam landskap ekonomi nasional dan serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN